Khamis, 18 Mac 2010

Semurni Kasih

Hairi melihat jam di pergelangan tangannya. Hatinya tidak tenang. Riak mukanya kelihatan cemas. Lagaknya seperti ibu kehilangan anak. Ish,mana pula budak ni? Dah pukul berapa sekarang ni. Hairi bermonolog sendiri. Sudah setengah jam dia menunggu di stesen bas Pagoh, namun kelibat orang yang ditunggunya masih tidak kelihatan lagi. Tiba-tiba fikirannya melayang teringatkan berita yang diterimanya pagi tadi. Berita yang memberinya suatu penyesalan yang tiada berkesudahan.
Pagi itu,usai solat subuh niat Hairi mahu menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarahnya. Lagipun sudah menjadi kebiasaannya tidak tidur selepas solat subuh. Memandangkan tugasannya yang belum siap, membuatkan Hairi menguatkan lagi semangatnya untuk menyiapkan tugasan tersebut. Namun pagi itu hatinya seperti tidak tenang. Dia sendiri tidak tahu mengapa perasaan tersebut timbul. Hairi cuba menyingkirkan perasaan tersebut dari terus menguasai dirinya. Dia memfokuskan dirinya dengan menyelesaikan tugasannya itu. Sedang dia tekun membuat kerjanya itu, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering memecahkan kesunyian pagi. Hatinya berderau tatkala terlihat nama Herman di skrin telefon bimbitnya itu. Hairi segera menyambut panggilan itu supaya tidak menganggu rakannya yang sedang tidur.
"Assalamualaikum...abang Hairi ke tu?" suara Herman kedengaran.
"Waalaikumusalam Man. Ye ni abang. Ade ape telefon abang pagi-pagi ni?" Hairi bertanya kepada adiknya. Hatinya menjangka bahawa ada berita buruk yang bakal disampaikan oleh adiknya itu kerana Herman tidak pernah menelefonnya seawal itu.
"Abang..err..Man..err...," sangkut-sangkut suara Herman.
"Man, kenapa ni? Cube bawa bertenang. Bagitahu pada abang. Ada ape-ape yang tak kena ke?" Hairi cuba untuk menenangkan adiknya itu sedangkan dirinya sendiri sudah tidak tenteram.
"Abang...Man harap abang bersabar ye? Nenek, bang..nenek dah takde. Dia dah tinggalkan kita," balas Herman perlahan.
Seperti terkena renjatan elektrik, Hairi terpaku mendengar berita yang baru disampaikan oleh adiknya. Dia seakan tidak percaya dengan kenyataan yang baru diterimanya itu.
"Abang...abang masih ada di situ?" suara garau Herman menyedarkannya daripada terus berkhayal.
"Iye Man. Abang ada di sini. Bila nenek meninggal,Man?" tanya Hairi sayu. Dia cuba mengawal nada suaranya.
"Ntah lah bang. Man pun tak tahu. Tapi apa yang Muksu bagitahu ayah, nenek meninggal pagi tadi. Muksu pun tak sempat nak jumpa nenek untuk kali terakhir. Nenek pergi senyap-senyap jek bang," cerita Herman dengan nada yang sebak.
"Arwah nenek akan dikebumikan petang ni. Lepas Zuhur. Abang balik tak?" Herman berkata lagi selepas Hairi masih mendiamkan diri.
"Abang akan balik Man. Tunggu abang ye Man. Abang balik sekarang juga!" balas Hairi dan terus mematikan talian.
Hairi segera mengemas apa yang patut untuk pulang ke kampung. Mujur ketika itu Syafiq, rakan sebiliknya sudah bangun. Hairi menceritakan segalanya kepada Syafiq. Syafiq yang bersimpati terhadap Hairi membantunya dengan menghantar Hairi ke stesen bas Puduraya. Sampai di sana, Hairi segera membeli tiket untuk balik ke Muar di mana kampung halamannya berada. Hairi bernasib baik kerana ada bas yang akan bertolak jam 9 pagi ini.
Semasa dalam bas, Hairi dihimpit kepiluan. Dia sudah tidak dapat menahan kesedihan yang dipendamnya sejak dari tadi. Akhirnya, gugur juga butir-butir permata yang ditahannya. Dia betul-betul sedih dengan berita pemergian nenek yang sangat dikasihinya. Mana tidak sedihnya, neneklah yang telah membesarkannya selepas kematian emaknya akibat penyakit lemah jantung semasa dia berumur seawal 7 tahun. Selang beberapa bulan kematian emaknya, datuknya pula pergi menyahut seruan ilahi. Semenjak itu, Hairi tinggal bersama neneknya walaupun rumahnya hanya bersebelahan dengan rumah neneknya. Adik-adiknya yang lain pula tinggal bersama ayahnya. Nenek pula menjaga dan mengasihi Hairi seperti menatang minyak yang penuh. Tidak pernah nenek memarahi mahupun memukul Hairi. Bahkan nenek akan memarahi orang yang cuba mengasari Hairi. Begitulah sayangnya nenek kepada Hairi. Hairi pula sangat manja dengan nenek. Hingga makan pun mahu disuap oleh nenek. Hairi terus tinggal bersama nenek dan sesekali dia akan menjenguk ayahnya di rumah. Ayah Hairi tidak pernah ambil hati kerana dia tahu Hairi hanya mahu menemani nenek yang keseorangan. Hairi tidak pernah berjauhan dengan nenek sehinggalah Hairi tamat tingkatan 5 dan ditawarkan menyambung pelajarannya di Universiti Malaya dalam bidang Psikologi. Bermula dari situ, Hairi terpaksa berpisah dengan neneknya. Walaupun berjauhan, Hairi tidak pernah lupa akan neneknya. Dia akan menelefon nenek setiap hari. Nenek umpama nyawa bagi diri Hairi. Apabila cuti, Hairi akan pulang ke kampung untuk menjenguk nenek dan ayahnya.
Semua berjalan seperti biasa dan tidak ada sebarang masalah sehinggalah nenek tiba-tiba diserang penyakit angin ahmar yang telah menjadikannya lumpuh. Nenek tidak mampu untuk bergerak. Nenek juga sudah tidak boleh bercakap. Hairi sangat sedih dan risau dengan keadaan neneknya. Hairi hampir-hampir ingin berhenti belajar kerana ingin menjaga neneknya yang sakit. Namun, setelah didesak dan diyakinkan ayahnya bahawa Muksu akan menjaga nenek, barulah Hairi merasa sedikit lega dan menyambung pengajiannya semula. Keadaan menjadi seperti biasa. Hairi tetap menelefon nenek setiap hari walaupun nenek tidak mampu untuk berkata apa-apa.
Apabila Hairi di tahun akhir pengajiannya, keadaan nenek masih seperti itu juga. Tiada tanda-tanda untuk sembuh. Hairi pula semakin sibuk dengan tugasan dan projeknya untuk final exam hingga membuatkannya tidak sempat untuk menghubungi nenek. Dia juga tidak pulang ke kampung untuk menjenguk nenek semasa cuti kerana terlalu sibuk dengan tugasannya. Ini menyebabkan nenek rindu kepadanya. Dengan menggunakan bahasa isyarat dan isyarat mulut,nenek memberitahu Muksu akan kerinduannya terhadap Hairi dan Muksu menyampaikan kepada Herman. Herman menghubungi abangnya itu dan meminta Hairi pulang ke kampung walaupun hanya sekejap untuk menjenguk nenek. Namun, akibat desakan tugasan dan projek yang banyak menyebabkan Hairi tidak mengendahkan permintaan adiknya yang meminta dia pulang sebentar melawat nenek. Jauh di sudut hati Hairi berdetik yang dia akan segera menghabiskan kerjanya dan pulang ke kampung berjumpa nenek. Tetapi sayang seribu kali sayang, nenek telah meninggalkannya terlebih dahulu sebelum dia sempat menghabiskan segala tugasannya. Itu yang menyebabkan Hairi begitu sedih dan terkilan.
"Abang Hairi? Abang ok ke?" terasa bahu Hairi disentuh orang.
"Eh,Man! Bila Man sampai? Abang tak perasan pun," jawab Hairi yang terkejut dengan kehadiran adiknya secara tiba-tiba.
"Man dari tadi dah sampai. Man panggil abang tapi abang tak dengar. Abang ok tak?" tanya Herman yang risau dengan keadaan abangnya.
"Abang ok. Dah, mari kita balik," ajak Hairi tidak mahu membuang masa.
"Baiklah bang,"
Sampai di rumah nenek, kelihatan orang sudah mulai ramai. Setelah bersalaman dengan sanak saudara yang ada, Hairi segera pergi mendapatkan jenazah neneknya yang sudah dimandikan dan dikapankan. Hairi memeluk dan mencium jenazah neneknya itu. Dia dapat lihat muka neneknya yang suci dan bersih. Tetapi cuma satu yang menghairankannya. Mata arwah neneknya tidak tertutup rapat. Hairi bertanya kepada ustazah yang memandikan jenazah neneknya itu.
"Kamu sabar ye Hairi. Mungkin ada benda yang nenek kamu nak tengok tapi hajatnya tak kesampaian," jawapan daripada ustazah itu benar-benar membuatnya dihambat rasa bersalah. Hairi sedar keadaan itu berpunca darinya. Kalaulah dia pulang dan melawat neneknya semasa adiknya menghubunginya, tentu perkara ini tidak berlaku dan dia sempat meminta maaf dengan neneknya. Tetapi yang sudah berlalu tetap akan berlalu. Dia tidak boleh memutar kembali masa yang sudah berlalu. Apa yang boleh dia lakukan sekarang hanya mendoakan kesejahteraan arwah neneknya di sana. Semoga roh nenek di tempatkan dikalangan orang yang baik-baik.Amin......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan